Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
22 September 2023 / 6 Rabiulawal 1445H
Kisah Nabi Muhammad (s.a.w.): Menjaga Amanah
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat kelak. Amin.
Muslimin Muslimat yang dirahmati,
Alhamdulillah kita kini berada di dalam bulan yang mulia. Bulan di mana padanya tercatat kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad (s.a.w.). Baginda merupakan seorang insan yang telah banyak berjuang demi menyebarkan agama Islam. Perjalanan dakwah Baginda bukanlah suatu yang mudah lagi indah belaka setiap masa. Ia penuh dengan pelbagai onak duri dan cubaan yang melanda. Keteguhan Baginda dalam menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya oleh sang Pencipta, cukup untuk membuat diri Baginda terus berusaha tanpa berputus asa.
Seribu satu ujian ditempuhi Nabi (s.a.w.) dalam melaksanakan tanggungjawabnya Ada yang menolak sekeras-kerasnya dakwah Nabi (s.a.w.). Yang dulunya kawan menjadi lawan, sehingga putus perhubungan. Dulunya memberinya gelaran al-Amin, sekarang ini dilontarnya kata-kata penghinaan.
Segalanya Nabi (s.a.w.) tempuhi dengan penuh tabah. Dan tidak menjadi sebab untuk Nabi (s.a.w.) membalas keburukan tersebut dengan keburukan yang sama, setelah Allah kurniakan kemenangan kepada Baginda. Bahkan Nabi tetap berlaku adil. Nabi (s.a.w.) memilih untuk memaafkan daripada permusuhan. Malahan, Nabi mengembalikan amanah kepada sesiapa yang berhak. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) kepada Nabi (s.a.w.) berkaitan menunaikan amanah:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58).
Saudara Saudari,
Begitulah ajaran agama ini. Yang diperhitungkan esok di hadapan Allah (s.w.t.) terhadap setiap individu, adalah tanggungjawab yang perlu beliau tunaikan.
Kisah Rasulullah (s.a.w.) yang baru saya kongsikan sebentar tadi mengajarkan kepada kita akan kepentingan memelihara amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Ingatlah akan pesanan Baginda (s.a.w.) dalam hadisnya:
Yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji.” [Hadis riwayat Imam al-Bayhaqi].
Iman dan amanah itu saling melengkapi antara satu sama lain. Ia seperti sebuah bangunan yang berdiri kukuh dengan tiangnya, apabila lemah tiangnya maka robohlah bangunan itu.
Saudaraku,
Setiap kita bertanggungjawab dalam bidang masing-masing. Malahan, ada antara kita yang diberikan kepercayaan untuk bertugas dari jarak jauh. Ada juga yang diberikan pelepasan untuk menunaikan solat Jumaat. Maka, kita perlu memelihara amanah dan kepercayaan yang diberikan ini.
Demi mencontohi Junjungan Tercinta, Nabi Muhammad (s.a.w.) pada akhlak dan pekertinya. Sebagaimana panduannya daripada al-Qur’an untuk setiap umat menjadikan Nabi (s.a.w.) sebagai suri tauladan kita sepanjang hayat. Maka marilah, sempena bulan Rabiul Awal yang mulia. Bulan di mana kita mengenang jasa Nabi (s.a.w.) dengan membaca sirahnya, menyambut maulidnya; sama-samalah kita berusaha menjadikan diri Nabi (s.a.w.) sebagai contoh dan teladan.
Ia seharusnya menjadi pemangkin semangat kita untuk melaksanakan ibadah, menambahkan lagi amalan serta menunaikan tugasan serta amanah yang kita pikul dengan sebaiknya. Tingkatkanlah ilmu agama dan kemahiran kita agar kita kekal terpandu ke jalan yang lurus. Semoga dengan demikian, kita akan memberi manfaat kepada diri kita, keluarga kita, dan masyarakat kita. Ingatlah saudaraku, di antara sifat-sifat Allah (s.w.t.) adalah Dia Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Tiada satu kebaikan atau kemungkaran yang kita lakukan kecuali Dia mengetahui segalanya.
Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang sempurna imannya lagi beramanah. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada kita rasa cinta kepada-Nya dan kepada Nabi-Nya.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.