collections khutbah Mengikuti Jejak Langkah Nabi: Mengukuhkan Hubungan dengan Allah
Mengikuti Jejak Langkah Nabi: Mengukuhkan Hubungan dengan Allah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Oktober 2023 / 12 Rabi’ul Akhir 1445H

Mengikuti Jejak Langkah Nabi: Mengukuhkan Hubungan dengan Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama memperkukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.), dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah menerima segala ibadah dan doa kita, serta memberi petunjuk kepada kita semua. Amin.

 

Saudara Saudari yang dikasihi,

Pada dua khutbah yang lalu, kita telah menghayati nilai-nilai serta pengajaran yang terkandung dalam sebuah hadis Nabi (s.a.w.). Dua pengajaran utama telah kita hayati bersama, iaitu:

......أَفْشُوا السَّلَامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ

Yang bermaksud: “...Sebarkanlah kedamaian, berikanlah makan kepada yang memerlukan...”

Ia menegaskan bagaimana pentingnya nilai menyebarkan kedamaian dan keamanan. Pada waktu yang sama, ia menitikberatkan kepentingan amalan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Pada hari ini, marilah sama-sama kita menghayati bahagian yang terakhir pada hadis tersebut. Iaitu:

وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ

Yang bermaksud: “...dan lakukanlah solat pada waktu malam ketika orang-orang sedang tidur...”

Ia merupakan dorongan untuk beribadah pada waktu malam, mendekatkan diri kepada Ilahi, mendambakan keampunan, rahmah dan pertolongan-Nya. Memanjatkan harapan serta doa ikhlas kepada Tuhan. 

Saudara Saudariku,

Beribadah dengan melaksanakan tahajjud pada waktu malam, merupakan satu bentuk ibadah yang unik. Ia membolehkan seorang hamba itu mempertingkatkan hubungannya dengan Penciptanya Yang Maha Esa. 

Dengan beribadah pada waktu malam, kita berpeluang memohon keampunan dari Allah (s.w.t.) dengan penuh kekhusyukan dan ketenangan, tanpa hiruk-pikuk kesibukan harian. Ia juga merupakan peluang bagi seorang hamba untuk membersihkan hati dan jiwa, serta memperolehi ketenangan diri, dan memanjat doa dan munajat kepada Allah (s.w.t.). Dalam erti kata lain, tahajjud dan qiyamullail adalah tradisi Islam dalam membentuk keperibadian, jati diri dan sebagai “terapi kerohanian” seorang Muslim.

Saudara Saudariku,

Dalam kita mengharapkan agar doa-doa kita dikabulkan, adalah penting untuk kita meningkatkan dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah (s.w.t.) Perhatikan hikmah yang terkandung di sebalik surah al-Fatihah:

Yang bermaksud: “Hanya kepada-Mu kami menyembah, dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, ayat 5).

Subhanallah! Perhatikan sususan ayat yang saya bacakan tadi. Allah (s.w.t.) memulakan dengan peringatan untuk menyembah Allah (s.w.t.) terlebih dahulu. Barulah setelah itu, seseorang itu memanjatkan doa dan berharap kepada-Nya.

Melaksanakan ibadah seperti solat adalah merupakan salah satu cara mendekatkan diri dan meraih kasih Allah. Apabila seorang hamba itu dikasihi oleh Allah, tentunya doanya akan lebih mudah dikabulkan. Oleh yang demikian adalah penting untuk kita perhatikan ibadah yang kita lakukan terlebih dahulu jika kita mahu doa kita dikabulkan Allah. Kerana bagaimana mungkin doa seseorang akan dikabulkan, sedangkan ibadahnya masih penuh dengan kekurangan. Apatah lagi kalau yang wajib pun kadangkala ketinggalan. Hak yang dituntut agama, kadangkala pula, diabaikan.

Saudara Saudari yang dikasihi,

Perkara yang saya nyatakan ini menjadi lebih kritikal lagi untuk kita hayati sekarang ini. Dunia hari ini berhadapan dengan cabaran, pergolakan dan krisis kemanusiaan. Kita perlu memperbanyakkan berdoa dan bermohon kepada Allah (s.w.t.) untuk diri kita dan juga saudara-saudara kita yang sedang berhadapan dengan pelbagai ujian getir. Dan masa yang terbaik untuk berdoa dan bermunajat adalah ketika kita menunaikan ibadah solat pada waktu malam kerana Rasulullah (s.a.w.) pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada waktu malam ada satu waktu, tidaklah seorang muslim itu memohon kepada Allah akan sesuatu kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah (s.w.t.) akan memperkenankannya. Dan ia berlaku pada setiap malam.” [Hadis riwayat Imam Muslim].

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj menjelaskan bahawa terdapat satu masa yang mustajab pada setiap malam. Kita dianjurkan untuk sentiasa berdoa pada setiap malam dengan harapan doa kita itu akan dikabulkan oleh Allah (s.w.t.).

Para Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap dari kita pastinya terkesan dengan perkembangan yang kita saksikan berlaku di dunia hari ini. Situasi buruk yang melanda saudara-saudara kita, di mana sahaja mereka berada. 

Ayuh, kita bersama mengorak langkah untuk menyebarkan salam dan keamanan, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, dan mendirikan solat di waktu malam, serta mendoakan buat kesejahteraan dan keamanan dunia. Kita panjatkan doa dengan penuh keyakinan bahawa doa kita akan dikabulkan Allah (s.w.t.).

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah (s.w.t.), dengan harapan Allah (s.w.t.) akan mengembalikan keamanan dan kesejahteraan, khususnya di bumi Palestin. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha kita, dan mengkabulkan doa, permohonan dan permintaan ikhlas kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِيْ غَزَّة وَفِي فِلِسْطِيْنَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.

​​​​​​​