collections khutbah Tanggungjawab Seorang Muslim: Berhadapan Dengan Maklumat
Tanggungjawab Seorang Muslim: Berhadapan Dengan Maklumat

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 November 2023 / 19 Rabi’ul Akhir 1445H

Tanggungjawab Seorang Muslim: Berhadapan Dengan Maklumat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama memperkukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.), dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) menerima dan memberkati segala amalan kita. Amin.

Saudara dan Saurdari yang dikasihi,

Dalam era perkembangan teknologi dan maklumat yang sangat pesat pada masa ini, Allah (s.w.t.) mengurniakan kita kemampuan dan kemudahan untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan pantas. Namun, nikmat kemudahan yang sangat bermanfaat ini juga mempunyai aspek-aspek negatif yang perlu kita sedari dan berhati-hati. Apabila kita menerima suatu berita atau maklumat, sama ada di media sosial, di lelaman sesawang, ataupun melalui berita yang dikongsikan sahabat handai, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menilai kesahihannya. Khususnya apabila berita tersebut dapat memberi kesan kepada kehidupan, pemikiran, dan sikap kita dan keluarga kita secara khusus serta masyarakat kita secara umumnya. 

Allah (s.w.t.) telah menetapkan panduan yang jelas dalam kita berhadapan dengan sesuatu berita atau maklumat. Firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang yang fasiq dengan sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya. Supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (tentangnya) sehingga kamu menjadi orang-orang yang menyesal terhadap apa yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya – Tafsir al-Quran al-Azim - menjelaskan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah berkenaan dengan seorang yang diutuskan Nabi (s.a.w.) untuk memungut zakat daripada sebuah kampung. Individu tersebut kurang amanahnya, lalu dia merekakan cerita bahawa penduduk kampung tersebut enggan membayar zakat dan ingin membunuhnya. Di saat itu, Baginda (s.a.w.) telah mengutuskan Khalid ibn al-Walid (r.a.) untuk menyiasat kebenaran kisah tersebut. Ternyata cerita yang disampaikan adalah tidak benar.

Saudara Saudari,

Ayat dan kisah yang disampaikan sebentar tadi mengingatkan kita akan kepentingan bersifat amanah. Bayangkan fitnah yang mungkin berlaku jika kepalsuan berita tersebut tidak disiasat. Oleh itu, adalah merupakan amanah setiap dari kita untuk memastikan kebenaran berita yang kita terima atau yang hendak kita sebarkan, sama ada di media sosial, di lelaman internet, ataupun saluran dalam talian (online) yang lainnya. 

Sebagai seorang mukmin, kita bertanggungjawab untuk menilai kesahihan sesuatu berita, lebih-lebih lagi sekiranya berita dan maklumat tersebut boleh menjejas emosi dan psikologi mereka yang menerimanya. 

Kita juga tentunya tidak boleh sama sekali tergesa-gesa menyebarkan maklumat tersebut, selagi ianya belum dapat dipastikan kesahihannya. 

Sungguhpun sifat manusia itu sentiasa tergesa-gesa dan ingin menyaksikan hasilnya dengan segara. Namun, sedarilah saudaraku, sikap tergesa-gesa bukanlah satu sifat yang terpuji. Malahan, Nabi (s.a.w.) memuji seorang sahabatnya yang dikurniakan Tuhan ketenangan ketika berurusan serta tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam dirimu itu ada dua sifat yang dicintai Allah: kesabaran dan berhati-hati (tidak tergesa-gesa).” [Hadith riwayat Imam Muslim].

Saudara Saudari,

Keamanan dan kedamaian merupakan satu nikmat yang amat berharga buat sekalian manusia. Kita bertanggungjawab untuk memastikan kelestarian keamanan negara kita dan negara-negara lain kekal utuh buat kemaslahatan kita bersama. Di tengah-tengah konflik yang sedang melanda dunia pada masa ini, kita mempunyai peranan penting untuk memastikan setiap maklumat yang kita terima dinilai dengan penuh hikmah dan bijaksana. Tanggungjawab ini menjadi lebih genting sekarang ini ketika kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang pesat. Maklumat palsu amat mudah untuk dicipta oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang hanya ingin mengejar populariti dan tanda “Like” pada hantaran atau posting akaun media sosial mereka.

Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk kita menilai suatu maklumat itu secara rasional dan bukan secara emosi. Penerimaan sesuatu maklumat yang kompleks secara emosi akan mengaburkan pemandangan kita daripada kebenaran dan keadilan. Sebahagian maklumat itu mungkin ada kebenarannya, tetapi sebahagian yang lain mungkin jauh daripada kebenaran, malahan boleh menyebabkan penyebaran fitnah, kebencian dan permusuhan. Kita perlu bertindak dengan bijak tanpa membiarkan nilai-nilai murni agama kita dan persefahaman yang terbentuk sesama kita dipengaruhi dengan reaksi serta tindakan yang dibuat oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Kita perlu kekal teguh dan yakin dengan nilai dan prinsip agama yang dipegang oleh kita sebagai masyarakat Islam Singapura.

Islam mengajar kita nilai-nilai keadilan, perdamaian, dan keihsanan. Kekerasan dan kekejaman sama sekali tidak dapat menyelesaikan permasalahan hari ini yang kompleks. Sebaliknya, kita perlu menjadi duta perdamaian, menghidupkan ajaran-ajaran dan akhlak Baginda (s.a.w.).

Ayuh! kita terus menyebarkan keamanan, kedamaian dan kebaikan buat semua, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, serta beribadah pada malam hari dan berdoa kepada Allah (s.w.t.) agar dikembalikan keamanan dan kesejahteraan buat seluruh dunia. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kebijaksanaan dan kekuatan dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan di dunia ini. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.