Alhamdulillah atas nikmat menghirup udara bulan Ramadhan ini. Setiap mukmin pasti menantikan kedatangan bulan istimewa ini. Begitulah ikatan kita dengan bulan Ramadhan yang indah ini. Sememangnya kita sangat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberi kita nikmat ini.
Ramadhan adalah bulan di mana ramai di antara kita akan berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t., khususnya dengan berpuasa. Setiap bentuk ibadah yang dipandang tinggi di sisi Allah s.w.t. pasti akan membawa bersamanya pelbagai ujian dan cabaran.
Untuk wanita terutamanya, bulan puasa ini mempunyai cabarannya yang tersendiri. Salah satu cabaran terbesar bagi kebanyakan wanita adalah ketidakupayaan untuk berpuasa dan membaca Al-Quran kerana haid atau pendarahan selepas kelahiran (nifas).
Ramai akan merasa sedih dan kecewa. Apa yang harus saya lakukan sekiranya saya tidak dapat berpuasa dan membaca Al-Quran? Saya tidak mahu mensia-siakan peluang istimewa ini di bulan Ramadhan.
Jangan berputus asa, wahai saudari-saudari sekalian. Allah s.w.t. tidak memberi kita cabaran melainkan ada hikmah yang datang bersamanya. Ada bentuk ibadah lain yang masih boleh kita lakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah di bulan Ramadhan yang suci ini.
Bahkan, Allah s.w.t. akan meningkatkan pahala bagi setiap amalan dan ibadah di bulan ini, bukan sahaja puasa, tetapi setiap amalan!
Berikut adalah 7 petua untuk menjayakan Ramadhan sekiranya kita tidak dapat berpuasa.
Ini merupakan antara cara yang termudah untuk mendapatkan pahala puasa tanpa berpuasa! Betapa pemurahnya Allah s.w.t. kepada kita sebagai hamba-hambaNya apabila Dia memberikan kita alternatif yang baik untuk tetap mendapat pahala berpuasa walaupun dengan keadaan kita. Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a katanya: Nabi s.a.w. bersabda,
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Siapa memberi makanan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”
(Sunan At-Tirmizi)
Kita boleh menyediakan atau membeli makanan untuk mereka yang berpuasa dan memperoleh pahala yang sama! Hebat kan? Sesungguhnya, Allah itu Al-Kariim (Yang Maha Pemurah).
أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
“Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
(Surah Ar-Ra’d, 13:28)
Terdapat banyak cara untuk mengingati Allah s.w.t. Kita boleh menyebut Nama Agung ‘Allah’ berulang kali atau membaca amalan yang kekal ini:
سبحان الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر
‘Subhaanallah wal hamdulillaah wa laa ilaaha illallaah Allaahu Akbar.’
Maha Suci Allah; Segala puji bagi Allah; Tiada tuhan selain Allah, Allah Maha Besar.
Kita boleh juga membaca apapun dua yang kita ketahui. Ya, sebilangan daripada anda akan mengatakan bahawa anda ingin membaca Al-Quran tetapi anda tidak dapat melakukannya. "Jadi bagaimana, Ustazah?"
Saya akan mengatakan bahawa anda masih boleh membaca Al-Quran dengan akal dan hati anda, tanpa mengucapkannya secara lisan; itu masih dibenarkan. Atau anda boleh mendengar bacaan indah oleh Qurra’ (pembaca Al-Quran) yang sangat menyedapkan telinga dan menenangkan hati. Mengingati Allah dengan hati yang penuh keikhlasan akan mendapat rahmat Allah.
Selain Zikrullah (mengingati Allah), cara utama lain untuk mendapat keredhaan Allah adalah dengan membaca Selawat untuk Nabi Sayyidina Muhammad s.a.w. kerana Baginda adalah yang paling dikasihi oleh Allah.
Manfaat membaca Selawat sangat banyak sehingga ia merangkumi dunia dan juga akhirat.
Manfaatnya di dunia ini adalah kita akan sentiasa diberi petunjuk oleh Allah s.w.t. Manfaatnya di akhirat pula adalah kita akan memperoleh syafaat Nabi s.a.w. yang dikasihi, insya Allah. Anda juga boleh mendengar lagu-lagu mengenai Nabi Muhammad s.a.w.
Ini adalah bulan Sadaqah (amal). Ramai orang akan menjadi lebih murah hati pada bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain oleh kerana pahala yang berganda dari Allah pada bulan suci ini. Sekarang, sadaqah boleh dilakukan secara dalam talian seperti memberi sumbangan untuk menyokong masjid-masjid kita atau menaja makanan untuk orang ramai berbuka puasa!
Ia sebenarnya merupakan Sunnah Nabi s.a.w. yang dikasihi di mana diceritakan bahawa Baginda memberi sadaqah seperti angin yang bertiup (dari segi kemurahan hatinya) terutamanya pada bulan Ramadhan ketika Malaikat Jibril datang kepadanya untuk membaca Al-Quran.
Sadaqah tidak hanya dilakukan hanya dengan berbentuk wang. Ia boleh juga dilakukan dengan apapun bentuk amalan untuk membantu dan meringankan kesusahan orang lain. Ini termasuk senyuman yang tulus dan melakukan sesuatu yang bernas untuk menceriakan hari seseorang. Jadilah seorang yang kreatif dalam sadaqah!
Ada yang akan memutuskan untuk menjauhi media sosial sepenuhnya pada bulan Ramadhan kerana takut membuang masa dan melakukan dosa. Namun, dengan niat dan disiplin yang baik, kita masih boleh menggunakan media sosial, terutamanya untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat tentang agama kita dan juga berita atau maklumat lain yang disahkan dan bermanfaat. Hanya dengan menekan butang ‘share’ bagi catatan atau artikel yang baik, seseorang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan memperoleh pahala. Ringkas bukan?
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.
(Sahih Muslim)
Oleh kerana makna puasa sebenarnya adalah lebih dari sekadar menjauhi makanan dan minuman, maka lebih penting bagi kita untuk mengawal nafsu (keinginan) daripada melakukan dosa di bulan suci ini, baik yang besar mahupun yang kecil. Contohnya, menahan lidah kita dari dosa seperti mengumpat, berbohong, mencela, memberi ucapan yang tidak baik dan berbual tanpa henti. Rancang dan sibukkan diri dengan ibadah yang banyak dan amal soleh sehingga kita menjadi terlalu sibuk untuk melakukan dosa.
Setelah berusaha untuk menahan diri dari melakukan dosa, kadangkala kita akan tewas juga. Apakah yang harus kita lakukan? Jangan lupa untuk segera meminta pengampunan dari Allah dan mengucapkan Istighfar (Astaghfirullaahal Aziim) dengan seikhlas hati. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat.
Sekalipun kita rasa kita tidak melakukan apapun kesalahan pada bila-bila masa dalam sehari, ucapkan sahaja Istighfar kerana kita mungkin tidak tahu kesalahan yang telah kita lakukan di sisi Allah s.w.t, dan juga dosa-dosa yang telah lalu.
Seseorang tidak perlu makan ubat-ubatan untuk menyekat kedatangan haid pada waktunya supaya dia dapat berpuasa sepenuhnya pada bulan ini. Menurut Islam, ia boleh dilakukan setelah meminta nasihat pakar perubatan dan yakin bahawa ia tidak akan membahayakan diri sendiri. Namun, kita semua tahu bahawa itu adalah sesuatu yang semula jadi yang Allah s.w.t. telah menciptakan untuk wanita. Sebaiknya, kita membiarkannya berlaku secara semula jadi kerana kita masih boleh terus melakukan ibadah lain selain berpuasa. Yang penting, kita perlu mengingatkan diri untuk membayar hari-hari puasa yang kita tinggalkan setelah Ramadhan berlalu. Dan Allah Maha Mengetahui.